Ambil tahu, bukan buat tidak tahu
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
Pelbagai faktor menjadi penyumbang kepada masalah keganasan rumah tangga, menurut Pengarah Bahagian Bimbingan dan Kaunseling Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Linda Jamaludin.
“Antara faktor penyebab adalah perselisihan faham dan tidak tahu cara mengurus emosi terutama membabitkan kemarahan.
“Kemarahan juga mungkin boleh disebabkan masalah di tempat kerja atau di luar rumah. Kemudian, mereka menjadikan rumah untuk melepaskan kemarahan,” katanya.
Tambahnya, apabila berlaku kes penderaan rumah tangga, mangsa perlu segera bertindak bijak bagi mengatasi masalah berkenaan agar tidak memburukkan emosi dan fizikal mereka.
Tambahnya, apabila berlaku kes penderaan rumah tangga, mangsa perlu segera bertindak bijak bagi mengatasi masalah berkenaan agar tidak memburukkan emosi dan fizikal mereka.
Mangsa perlu berkongsi masalah dengan individu yang profesional terutama kaunselor bertauliah untuk mendapatkan pertolongan.
Elak berjumpa orang sekeliling yang tidak dipercayai atau mereka yang tiada kepakaran dalam pengurusan emosi membabitkan masalah kronik berkenaan.
“Kaunselor bertauliah perlu mematuhi etika kerahsiaan yang akan memastikan setiap masalah dirahsiakan dan tidak akan dihebah kepada orang lain.
“Pada masa sama, kaunselor juga akan berbincang bersama mangsa mengenai teknik terbaik untuk mencari jalan menyelesaikan masalah.
“Misalnya, teknik pengurusan emosi untuk mangsa dan pelaku. Namun, kebanyakan kes hanya mangsa yang hadir untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya.
Ujarnya, segala maklumat tidak berjaya disampaikan sepenuhnya apabila pelaku tidak mahu mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan.
Banyak kes yang berlaku memberi kesan kepada mangsa terutama tahap keyakinan yang semakin menurun, tiada motivasi diri serta tidak mempunyai harapan untuk meneruskan kehidupan selepas didera serta ditinggalkan pasangan.
“Kadangkala mangsa menjadi trauma dan mengalami masalah lain seperti insomnia, pening kepala dan tiada harapan untuk hidup.
“Mangsa juga berasa kehilangan apabila tiada tempat bergantung selain kerap mengalami mimpi ngeri. Ada juga yang terbit rasa benci atau tiada kepercayaan kepada lelaki lain disebabkan trauma dihadapi,” katanya.
Justeru, sesi kaunseling sedikit sebanyak dapat membantu mangsa daripada terus memikirkan mengenai trauma atau kekurangan diri sendiri.
Mengembalikan keyakinan dapat membantu mereka meningkatkan diri daripada terus dibelenggu masalah dihadapi sehingga menyebabkan mereka berisiko mengalami masalah mental pula.
Ia dapat dilakukan menerusi program seperti keusahawanan. Selain dapat berkenalan dengan ramai wanita senasib, ia juga membantu mangsa melupakan masalah yang berlaku dengan kesibukan menyertai pelbagai aktiviti.
Malah, aktiviti yang boleh dianggap sebagai terapi itu juga membantu mangsa menjana pendapatan apatah lagi sebelum ini mereka bergantung harap sepenuhnya daripada pasangan dari segi kewangan.
Selain itu, mangsa juga perlu melaporkan kepada pihak polis apabila berlaku penderaan. Jangan terus berdiam diri kerana ia akan memberi peluang kepada pelaku untuk melakukan lebih banyak penderaan kepada mangsa kerana menganggap mereka tidak berani bertindak.
“Mangsa juga boleh menghubungi talian NUR 15999 untuk melaporkan sebarang keganasan yang berlaku pada diri sendiri atau orang sekeliling mereka.
“Mangsa juga boleh mendapatkan bantuan atau perlindungan sementara di Jabatan Kebajikan Masyarakat ketika berhadapan masalah penderaan,” katanya.
Selain mangsa, ahli keluarga juga perlu memainkan peranan penting. Cuba berbincang menggunakan kaedah terbaik membabitkan dua pihak iaitu mangsa dan pelaku.
Sebaiknya, kawal emosi ketika berbincang bagi mengelakkan masalah yang lebih buruk.
“Pergilah bercuti ke tempat yang dapat memberi ketenangan pada diri ketika mengalami masalah untuk meredakan perasaan marah atau tertekan.
“Cipta suasana baru dalam rumah tangga bagi mengelakkan pasangan berasa bosan dan mula beralih arah kepada wanita lain.
“Setiap pasangan juga perlu tahu mengenai undang-undang bahawa kes penderaan bukan masalah kecil tetapi ia boleh dianggap sebagai jenayah,” katanya.
Bukan hanya mangsa yang perlu bertindak, malah masyarakat sekeliling juga harus prihatin dengan masalah yang berlaku di sekeliling mereka.
Bertindak segera, jangan tunggu sehingga ada mangsa yang terbunuh baru mahu bertindak. Masyarakat perlu ambil tahu walaupun ia membabitkan masalah rumah tangga.
Ujarnya, disebabkan itu banyak program dijalankan kementerian seperti pengurusan emosi bagi mendedahkan masyarakat mengenai teknik untuk berhadapan dengan kemarahan atau tekanan.
Selain itu, aspek komunikasi, psikologi, pengurusan keluarga dan kaunseling turut ditekankan bagi membantu orang awam memahami perkara berkenaan dengan lebih mendalam.
Ia bertujuan memberi panduan dan maklumat berguna bagi mengelakkan kes seperti penderaan kepada pasangan.
Program dianjurkan terbuka kepada orang awam dan boleh disertai melalui pendaftaran di portal Jabatan Pembangunan Wanita.
“Ada juga program atau khidmat nasihat yang diberikan kepada mangsa keganasan rumah tangga, gangguan seksual, rogol, sumbang mahram, keldai dadah dan pemerdagangan wanita.
FAKTA
Akta keganasan rumah tangga 1994 (Akta 521)
- Secara sengaja atau dengan disedarinya meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal.
- Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal.
- Memaksa mangsa dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan berbentuk seksual ataupun selainnya yang mangsa itu berhak tidak melakukan.
- Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.
- Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa.
A. Penalti jika melanggar Perintah Perlindungan Interim (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO) (Seksyen 8, Akta Keganasan Rumahtangga)
i. Sengaja melanggar IPO / PO
Denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
ii. Sengaja melanggar IPO / PO dengan menggunakan keganasan ke atas mangsa / orang yang dilindungi.
Denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
iii. Pelanggaran kali kedua atau seterusnya menggunakan keganasan
Penjara tidak kurang daripada 72 jam dan tidak melebihi 2 tahun dan denda tidak melebihi RM5,000.
No comments:
Post a Comment
miss kembang kucup