Wednesday, 8 July 2015

ramadhan

Ramadan dan belenggu syaitan

Kelebihan menangkap jin, syaitan adalah mukjizat khusus Nabi Sulaiman

ramadan sepatutnya menjadi medan latihan untuk melemahkan nafsu
RAMADAN sepatutnya menjadi medan latihan untuk melemahkan nafsu dengan cara berlapar.- GAMBAR HIASAN
"SESUAI sekali dengan gelarannya sebagai bomoh sakti. Syaitan yang mengganggu rumah banglo di tepi jalan itu akhirnya ditangkap dan dipenjarakan oleh si bomoh sakti. Penghuni rumah itu akhirnya hidup aman tenteram tanpa onar si syaitan."

Benarkah jin dan syaitan mampu ditangkap atau dibelenggu oleh manusia biasa? 

Yang mendakwa tidak pula mampu membawa bukti zahir di depan mata kerana jin syaitan tidak dapat dilihat oleh mata manusia. (al-A’raf: 27)

Bagi Muslim yang beriman dengan perkara ghaib, asas utama bicara tentang perkara ghaib (seperti isu jin dan syaitan) adalah panduan wahyu kerana ia mutlak milik Allah SWT. 

Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). (al-Naml: 65)

Tiada manusia yang paling hebat berbanding Rasulullah SAW. Adakah Rasulullah SAW mampu menangkap jin atau syaitan? 

Biarlah kisah Iblis mengganggu solat Rasulullah SAW dalam hadis ini menjawab soalan tersebut: Ertinya: Si Musuh Allah, iblis datang membawa secebis api untuk dilempar ke mukaku, lalu aku mengucapkan: “Aku mohon perlindungan Allah daripada (kejahatan)mu” sebanyak tiga, kemudian tanpa berlengah aku berkata: “Aku melaknatmu dengan kutukan Allah” sebanyak tiga kali, kemudian aku hendak menambatnya. 

Demi Allah! Kalaulah bukan kerana doa saudara kita Nabi Sulaiman (dalam surah Sad:35]), sudah pasti iblis akan terikat padanya (tiang masjid) dan menjadi mainan kanak-kanak Madinah. (Sahih Muslim)

Dalam hadis lain disebut pula jin Ifrit yang mengganggu: Semalam, jin Ifrit cuba menggangguku untuk memutuskan solatku, walau bagaimanapun Allah membantuku untuk menewaskannya, lalu aku berjaya mencekik lehernya. 

Aku berhasrat untuk mengikatnya pada salah satu tiang masjid agar paginya kamu semua dapat melihat(nya), kemudian aku teringat doa saudaraku Sulaiman: “Katanya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya. (Sad: 35), lalu Allah menghalaunya pergi dalam keadaan terhina. (Sahih Muslim)

Mengapa baginda SAW menyebut Nabi Sulaiman? 

Rupanya kelebihan menangkap atau membelenggu jin dan syaitan adalah mukjizat khusus Nabi Sulaiman as.

Allah berfirman yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya) kemudian ia kembali (merayu kepada Kami), 

Katanya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya. 

Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya; Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing). Dan jin-jin syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu. (Sad: 34-38)

Diikat sekali setahun
Kesimpulannya, memang terdapat perselisihan pendapat tentang kemampuan manusia biasa menangkap jin dan syaitan. Semua perselisihan tersebut berpunca daripada cara memahami hadis di atas (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Apa yang pasti, Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menangkap jin atau syaitan, sebaliknya hanya mengusir mereka. Dalam sebuah hadis menyebut seorang wanita membawa anak kecilnya yang terkena rasukan syaitan bertemu Nabi SAW.

Baginda SAW lalu berkata kepada syaitan yang merasuk yang bermaksud: “Keluarlah kamu (dari tubuh anak ini) wahai musuh Allah, aku adalah utusan Allah!”

Anak itu kemudiannya sembuh dan wanita tersebut memberikan nabi dua ekor kibas, dadih dan keju sebagai hadiah (Musnad Ahmad & Mustadrak al-Hakim).

Istimewa sekali untuk umat Islam, Allah berjanji akan mengikat jin dan syaitan sekali setahun pada bulan Ramadan sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Apabila masuk bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan para syaitan dibelenggu. (Sahih al-Bukhari)

Begitu pun, maksud belenggu syaitan dalam bulan Ramadan juga masih diperselisihkan para ulama. Ada yang berkata memang syaitan derhaka dibelenggu daripada bermaharajalela dalam maksud hadis secara hakiki.

Ada pendapat lain berkata yang terbelenggu hanyalah syaitan yang paling jahat dan banyak onarnya. 

Ada juga yang memahaminya secara kiasan, iaitu kehadiran bulan Ramadan yang penuh rahmat Allah seumpama membuka laluan mudah ke pintu syurga dan menjauhkan manusia dari pintu neraka.

Jika difahami secara hakiki, walaupun syaitan sudah dibelenggu, maksiat dan dosa masih boleh berlaku pada bulan Ramadan kerana dorongan nafsu buruk manusia. 

Oleh itu, bulan Ramadan sepatutnya menjadi medan latihan untuk melemahkan nafsu dengan cara berlapar. 

Orang yang berlapar akan kehilangan seleranya untuk melayan kehendak nafsunya.

Yang jauh penting adalah setiap orang beriman wajib membelenggu dan mengikat syaitan dalam dirinya agar syaitan tersebut tidak berjaya menghasutnya melakukan kederhakaan kepada Allah. 

Menurut Ibnu Abbas, syaitan sentiasa mencangkung pada hati anak Adam. Apabila mereka terlupa ia akan melebarkan pengaruhnya dengan hasutan jahat. 

Apabila manusia mengingati Allah, syaitan itu menjadi lemah (Tafsir al-Tabari pada tafsiran surah al-Nas: 4-5).

Oleh itu, umat Islam perlu sedar bahawa ilmu yang benar serta berpegang teguh kepada agama Allah SWT adalah belenggu terbaik yang pasti akan menyelamatkan mereka daripada gangguan syaitan secara zahir dan batin, baik ia dalam bulan Ramadan atau di luarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/ramadan-dan-belenggu-syaitan-1.111539#sthash.EDTRCKA8.dpuf

raya ooo raya

Baliklah kampung, duit boleh dicari...

RAMAI marah-marah dan memuat naik status ‘berangin’ dalam laman-laman sosial apabila mengulas mengenai satu cadangan supaya orang ramai khususnya umat Islam tidak balik ke kampung tahun ini sebagai langkah berjimat cermat kerana kos sara hidup yang meningkat.

Cadangan berkenaan dikemukakan oleh seorang pakar kewangan dalam satu program televisyen, baru-baru ini.

“Nasib baiklah dia tidak cadang Hari Raya tahun ini ditangguhkan kerana hendak berjimat,’’ kata seorang lelaki dalam satu laman sosial.

Sememangnya, sejak kebelakangan ini, kita sudah biasa dengan cadangan-cadangan yang kadang-kala seperti tidak masuk akal dan membangkitkan rasa marah orang ramai mengenai hal-hal berjimat cermat.

Hakikatnya, bagi yang berpendapatan rendah, rata-rata mereka sudah tidak tahu apa lagi hendak dijimatkan. 

Apa lagi perbelanjaan yang hendak dipotong dan apa lagi kemudahan yang perlu dikorbankan.

Kita juga sudah biasa dengan saranan boikot, kalau harga ayam naik, jangan makan ayam, bila kadar tol naik, cari jalan alternatif, kalau harga petrol naik, naik kenderaan awam, jalan kaki atau berbasikal ke pejabat, itu lebih menyihatkan badan.

Cadangan-cadangan yang tidak banyak membantu ini, sebenarnya menambah lagi rasa ‘sesak’ kepala orang ramai. 

Maka sebenarnya, perlu difikirkan betul-betul sebelum hendak memberi cadangan kepada orang ramai, biarlah bernas. 

Fikirkanlah juga perasaan golongan rakyat yang berpendapatan rendah yang lebih merasa tertekan dan terbeban. Dan janganlah seperti memperbudak-budakkan mereka. Jika tidak, eloklah duduk diam-diam saja.

Dan apabila ada cadangan yang meminta orang ramai memikirkan agar jangan balik kampung pada Aidilfitri ini untuk mengubah cara perbelanjaan, kerana tidak perlu bayar tol dan bayar petrol selain perbelanjaan sampingan lain di kampung, ini lagilah menjentik-jentik serabut di kepala orang ramai yang sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup ini.

Apa yang sepatutnya ditekankan di sini ialah berbelanja secara berhemat semasa membuat persiapan Hari Raya.

Rancang perbelanjaan. Jika wang tidak cukup untuk petrol dan tol, janganlah banyak berhabis untuk membeli pakaian dan kuih muih.

Jangan cakap trend balik kampung setiap kali musim perayaan perlu diubah kepada yang tidak berduit. 

Pekerja asing yang membanjiri tempat-tempat awam setiap kali Hari Raya atau cuti umum, pun pasti pulang berjumpa keluarga masing-masing sekiranya keluarga mereka berada di negara ini.

Sudah tentu, wang bukan segala-galanya sehingga kita terpaksa pula mengorbankan hubungan dan nilai kekeluargaan semata-mata hendak jimat petrol dan tidak mahu bayar tol.

Hubungan kekeluargaan bukan boleh dibeli dengan wang. Sudahlah kurang harta, kurang pula hubungan sesama keluarga dan rasa insani, apa lagi yang tinggal?

Sedangkan Hari Raya adalah masa untuk bersama-sama keluarga. Yang jarang-jarang balik ke kampung kerana sibuk dengan kerja atau mungkin juga faktor kewangan, tidak dapat pulang selalu, inilah masanya untuk menemui ibu bapa masing-masing.

Bukan saya kata Hari Raya baru hendak jenguk ibu bapa di kampung. Sepatutnya selalu. Tetapi tanyalah semua yang bergelar ayah dan ibu, mereka mahu anak mereka berada di depan mata pada setiap hari lebaran. Sanggupkah kita mengetepikan harapan orang tua, semata-mata mahu berjimat.

Maka baliklah kampung, gembirakanlah hati ibu bapa, sementara mereka masih ada dan berjumpalah dengan sanak saudara. 

Duit walau dalam payah pun masih boleh dicari dan diikhtiarkan. Ibu bapa jika sudah tiada, tidak akan mungkin ada gantinya lagi.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/baliklah-kampung-duit-boleh-dicari-1.111702#sthash.KQPkHqfJ.dpuf